BULAN REJAB MENURUT PERSPEKTIF AL-QURAN DAN AS-SUNNAH
PENGENALAN
1. Rejab ertinya “Mulia”. Bulan
Rejab adalah bulan mulia. Ia diberi nama sedemikian kerana bangsa Arab
dahulu sangat memuliakan bulan ini dengan 4 cara iaitu: -
(i) Tanggal 1hb Rejab mereka menyembelih anak unta sebagai qurban.
(ii) Tanggal 1hb Rejab mereka akan membuka pintu Ka’abah siang dan malam agar dapat beribadah dengan sepuasnya.
(iii) Tanggal 10hb Rejab mereka kembali menyembelih qurban tetapi tidak lagi anak unta. Amalan ini telah dibatalkan setelah datangnya Islam.
(iv) Bulan diharamkan berperang, setelah datangnya Islam amalan ini juga telah dibatalkan.
2. Tanggal 27hb Rejab berlakunya peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu Isra’ dan Mi’raj. Terdapat khilaf di kalangan ulama’ mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulama’ bersepakat menerima ianya berlaku pada 27hb Rejab. Tarikh berlakunya Isra’ dan Mi’raj
tidaklah penting tetapi umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini
benar-benar berlaku ke atas tubuh mulia Rasulullah SAW berdasarkan dalil
qatie dari al-Quran dan hadis-hadis sahih.
3. Pada
bulan ini juga berlakunya peperangan Tabuk pada tahun 9 Hijrah iaitu
peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.
BULAN REJAB MENURUT AL-QURAN
Al-Quran
tidak menyebut secara khusus mengenai bulan Rejab dan kelebihannya
melainkan terdapat dua surah yang menyentuhnya secara tidak langsung
iaitu surah al-Baqarah (ayat 194 dan 217) dan surah at-Taubah (ayat 2,
36 dan 37). Di antara dalil al-Quran ialah firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Bulan haram dengan bulan haram, dan pada sesuatu yang patut dihormati,…”
(Al-Baqarah: 194)
“Sesungguhnya
bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di
waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antara 4 bulan haram ¹ …”
(At-Taubah: 36)
Ulama berselisih pendapat kenapa bulan-bulan ini (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) dinamakan bulan haram. Pertama, dikatakan bahawa ia disebabkan kebesaran kehormatannya, sebagaimana besarnya dosa yang dikira jika dilakukan dalam bulan itu.
Ibn Abbas
berkata bahawa sesungguhnya Allah mengkhususkan keempat-empat bulan
itu, sebagaimana ganjaran besar untuk amalan soleh yang dilakukan dalam
bulan itu.
Kedua,
dikatakan juga ia dinamakan bulan haram lantaran pengharaman peperangan
dilakukan dalam bulan itu dan ia dalah amat dikenali pada masa
jahiliyah dan dikatakan juga ia dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s.
(1) Maksudnya antara lain ialah: bulan haram (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab)
Dikatakan
juga oleh ulama bahawa keempat-empat bulan itu dinamakan haram
berikutan pengharaman peperangan disebabkan ibadah haji dan umrah yang
dilakukan dalam bulan haram itu. Bulan Zulkaedah,
Zulhijjah dan Muharram adalah tiga bulan yang berturutan. Maka,
diharamkan bulan Zulkaedah lantaran bakal haji melakukan perjalanan ke
Makkah dalam bulan itu. Bulan Zulhijjah disebabkan ibadah haji dilakukan
dalam itu dan bulan Muharram pula mereka yang mengerjakan ibadah haji
akan kembali ke tempat masing-masing. Pengharaman ini bagi membolehkan
mereka yang mengerjakan haji berasa aman terhadap keselamatan diri.
Rejab pula diharamkan lantaran ibadah umrah dilakukan dalam bulan itu
pada pertengahan tahun.
BULAN REJAB MENURUT AS-SUNNAH
Berdasarkan
dalil al-Quran jelas menunjukkan bahawa bulan Rejab termasuk dalam
bulan-bulan yang sangat dimuliakan atau dipanggil juga Al-Ashhur Hurum. Perlu ditegaskan bahawa melakukan puasa dalam bulan-bulan ini adalah dituntut (mandub). Ada hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat melakukan puasa sunat dalam bulan Al-Ashhur Hurum. Berpuasa
dalam bulan Rejab adalah dituntut tetapi tiada satu hadis sahih yang
mebuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab
akan mendapat ganjaran istimewa.
Dalam
satu riwayat datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui
Rasulullah SAW dan bertanya, “Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang
datang menemui anda pada tahun pertama” Ujar Nabi SAW, “Kenapa keadaanmu
telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu,
“Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu
malam” Maka tanya Rasulullah SAW “Kenapa kamu seksa dirimu?” Lalu
sabdanya “Berpuasalah pada bulan sabar – yakni bulan Ramadan dan satu
hari dari setiap bulan!” Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya!
Ujar lelaki itu. “Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi. “Tambahlah lagi!” Mohon lelaki itu pula. Maka
Nabi SAW bersabda “Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu
berbukalah! (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan
itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula
digenggam lalu dilepaskan” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik).
Berpuasa
dalam bulan-bulan haram iaitu empat bulan, tiga bulan berturut-turut
(Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan satu bulan berasingan (Rejab)
adalah sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas Ramadan. Sebaik-baik
bulan haram ialah Muharram diikuti dengan Rejab dan seterusnya.
Keempat-empat Imam Mazhab sepakat mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan
haram sangat dituntut namun adalah makruh memilih bulan Rejab sahaja untuk berpuasa.
Terdapat
satu hadis yang bertaraf hasan menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah
berpuasa (di dalam bulan Rejab) lebih banyak daripada bulan Sya’aban
dan bila ditanya, baginda menyatakan, kerana ia (Rejab) bulan
pengampunan di antara Rejab dan Ramadan. Ada sebahagian
masyarakat berpuasa berturut-turut (Rejab, Sya’aban dan Ramadan) di
ketiga-tiga bulan. Ini bukannya dari Rasulullah SAW, bukan dari sahabat
dan salafussoleh. Yang terlebih baik ialah berpuasa sebahagiannya atau
berpuasa selang sehari dan bukan berterusan. Inilah sunnah Rasulullah SAW.
PERSELISIHAN PENDAPAT MENGENAI HADIS-HADIS BERKAITAN
KELEBIHAN BULAN REJAB
Memang terdapat banyak hadis yang menyebut secara khusus mengenai kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam bulan Rejab. Ulama
berselisih pendapat sama ada hadis-hadis ini boleh diterima untuk
diamalkan atau ditolak berdasarkan penilaian hadis-hadis yang
diklasifikasikan sebagai dha’if, sangat dha’if dan maudhu’ (palsu).
Sebahagian ulama dan para pendakwah masa kini mengambil sikap
berhati-hati dan sebahagiannya menolak hadis-hadis ini dan melarangnya
disampaikan kepada masyarakat. Di antara contoh hadis-hadis mengenai
bulan Rejab yang adalah seperti berikut: -
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
· “Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku (Nabi Muhammad SAW), Ramadan bulan umatku”.
(Hadis ini dikatakan mun’kar ² bahkan dianggap maudhu’ dan tiada padanya nilai ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan)
· “Dalam
syurga ada sebuah sungai bernama Rejab, airnya lebih putih daripada
susu, lebih manis daripada madu. sesiapa berpuasa dalam bulan Rejab,
nescaya diberi minum air sungai itu”.
(Hadis ini juga dhai’f)
· “Sesiapa
berpuasa sehari dalam bulan Rejab, sama seperti ia berpuasa sebulan.
Sesiapa berpuasa 7 hari nescaya ditutup daripadanya 7 pintu neraka
Jahannam. Sesiapa berpuasa 8 hari, nescaya dibuka 8 pintu syurga”. (Hadis ini dha’if)
Perbahasan: Penentuan sesuatu hadis sama ada ianya sahih, hasan, dha’if dan sebagainya disebabkan oleh perawi (pembawa)nya.
Ini memerlukan satu perbincangan yang panjang. Kita bersetuju bahawa
apabila sesuatu hadis yang hendak disampaikan oleh seseorang penceramah,
beliau hendaklah menyebut kedudukan hadis tersebut dan siapa yang
meriwayatnya. Perlu dijelaskan di sini bahawa adalah tidak
patut hanya disebabkan hadis itu dha’if, maka ia perlu diketepikan dan
ditolak mentah-mentah. Hadis dha’if adalah tetap hadis dan ia bukannya
maudhu’. Penilaian ulama terhadap perawi sesuatu hadis
adalah berbeza-beza. Seseorang ulama hadis mungkin menilai hadis itu
dha’if atau maudhu’ pada kajiannya sahaja akan tetapi kepada ulama hadis
yang lain ia tidak begitu. Sekiranya seorang atau dua
ulama yang menilai sesuatu hadis itu dha’if tidaklah sampai menjejaskan
hadis tersebut. Mungkin di antara perkara ganjil yang terdapat di dalam
hadis yang dianggap dha’if ialah besarnya ganjaran pahala yang
dijanjikan apabila kita melakukan sesuatu amalan yang dianggap sedikit.
Perkara ini janganlah dijadikan persoalan kerana ganjaran yang besar itu
hanya pada anggapan akal fikiran kita sahaja tetapi ianya adalah kecil
di sisi Allah SWT yang Maha Kaya dan Maha Pemurah untuk hamba-hambaNya
yang sentiasa mencari dan mengharapkan rahmat serta keredhaanNya.
Selain
berpuasa di bulan Rejab, kita dianjurkan memperbanyakkan berdoa’, solat
sunat, berselawat, bersedeqah, beristighfar, membaca al-Quran dan
berzikir. Dalam kitab Raudhoh Imam Nawawi ada menyebutkan “Malam awal Rejab mustajab doa’nya”.
Marilah
sama-sama kita merebut peluang-peluang keemasan yang terdapat dalam
bulan Rejab ini dengan memperbanyakkan amalan kebaikan. Namun begitu,
setiap amalan mestilah bersandarkan kebenaran dan tidak terkeluar dari
batas yang dibenarkan termasuk mengelakkan diri daripada melakukan
perkara-perkara bid’ah.
Wallah hu’alam bissawab.
Rujukan:
1. Terjemahan Al-Quran Al-Karim
2. FIQH dan Perundangan Islam – Dr Wahbah Az-Zuhaili
3. Fikih Sunnah – Sayid Sabiq
4. Fatwa Masa Kini (Jilid 3 & 4) – Dr Yusuf Al-Qaradawi
5. Islam & Manusia (1001 Kemusyiklan) – Dr Abdul Hayei Abdul Sukor
6. Fazilat Bulan Rejab, Sya’ban & Ramadzan – Budiman Radzi
7. Fatwa Online (Islam Online)
8. Dairi Islamiah 1999
9. Kuliah Zuhur – Maulana Syed Noor Muhammad (Kelulusan Mufti)
SUMBER :
No comments:
Post a Comment